JUStice Station.
September 17, 2007
Konsert terakhir Sudirman dalam VCD
RAKAMAN konsert terakhir Allahyarham Sudirman Hj Arshad di tapak ekspo Air Keroh, Melaka 16 tahun lalu dijangka akan diedarkan dalam bentuk VCD mulai 1 Oktober ini.VCD yang berdurasi selama dua jam itu akan dicetak dan diedar oleh pihak Maestro Records yang diketuai oleh Freddie Fernandez.
"Pada 1 Oktober ini, Astro dijangka akan melancarkan VCD tersebut secara besar-besaran.
"Harga VCD akan dijual sebanyak RM10. Rakaman konsert itu juga akan disiarkan di stesen televisyen Astro pada hari raya nanti, " kata Pengarah Pemasaran Saudara Usaha Dagang Industri Sdn Bhd (SUDEE) Virinder Singh semasa sidang media 'Sudee Foundation'.
Virinder merupakan penyumbang utama konsert Allahyarham Sudirman yang terakhir itu.
Menurut Virinder, sebelum ini syarikat yang turut disertai oleh Allahyarham Sudirman sendiri selaku pengerusi bernama Sudirman Usaha Dagang Industri Sdn Bhd (SUDI).
Hasil jualan VCD ini nanti akan disumbangkan ke tabung Sudirman yang digelar 'Sudee Foundation'.
Setelah berbincang dengan abang Allahyarham Sudirman, Roslan, nama Sudee ditukar daripada nama asal Sudi bagi mengelakkan kekeliruan.
"Tun Musa Hitam, Tan Sri Leo Moggie, Datuk Michael Chong, Datuk Marina Mahathir dan saya akan berbincang untuk merancang tindakan yang selanjutnya terhadap wang yang diperolehi," ujar Virinder.
Walaupun telah lama Virinder menyimpan rakaman tersebut, namun beliau tetap meneruskan hasrat untuk mencetak dan mengedarnya dalam bentuk VCD kepada orang ramai yang belum berpeluang menonton konsert kenangan daripada Allahyarham Sudirman itu.
"Saya memang sudah lama mahu buat perkara ini kerana ini adalah hasrat saya dan saya akan kotakan janji saya. Walaupun ia akan disiarkan di televisyen tetapi edaran VCD tetap dilakukan secara sedikit-sedikit. Saya pasti ramai yang akan membelinya kerana ia merupakan sesuatu yang berharga daripadanya," kata Virinder yang menukar format rakaman tersebut daripada VHS kepada DVD di Australia.
Selain itu, Virinder juga bercita-cita untuk menyimpan VHS asal rakaman tersebut di muzium.
Virinder mempunyai alasan tersendiri untuk melancarkan VCD tersebut bersempena 50 tahun kemerdekaan Malaysia seiring dengan kejayaan Allahyarham Sudirman sebagai 'Penghibur Milik Masyarakat' dan 'Seniman Rakyat' yang memperjuangkan lagu patriotik seperti 'Tanggal 31'.
Allahyarham Sudirman mengadakan konsert percuma tersebut setelah berjaya memasarkan minuman tin berkarbonat jenama Sudi sekaligus mengangkatnya sebagai pemenang Anugerah Pengusaha Muda.
Konsert percuma anjuran SUDI Sdn Bhd dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Ekonomi Melaka itu, bagi mengucapkan jutaan terima kasih kepada orang ramai atas sambutan mereka terhadap minuman jenama Sudi. Penyanyi, penghibur, penggubah, peguam, penulis, pengarang (buku kanak-kanak), pelukis kartun, usahawan, dan pelakon itu telah mengadakan konsert terakhirnya pada 9 Mac 1991 iaitu setahun sebelum beliau meninggal akibat menghidap penyakit radang paru-paru (pneumonia) selama tujuh bulan.
Pada 22 Februari 1992 ketika berusia 37 tahun, Sudirman Hj Arshad telah kembali ke Rahmatullah di rumah kakaknya Datin Rudiah Hj. Arshad di Bangsar Park, Kuala Lumpur.Jenazah Allahyarham telah dibawa pulang ke Temerloh dan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kg. Chengal, Temerloh pada hari yang sama, jam 3.45 petang di sebelah pusara orang tuanya. Ribuan peminat-peminat setia termasuk Perdana Menteri Malaysia ketika itu Dr. Mahathir Mohamad telah menziarahi jenazah Allahyarham yang dianggap sebagai satu kehilangan besar bagi dunia hiburan tanah air.
- OLEH SITI AZIRA ABD AZIZ
(TITIPAN mSTAR ONLINE)
posted by JusticeGUY at 3:48:00 PM


0 Comments:
Post a Comment
<< Home